CPI Asia

Home Translation BM Apartheid de facto tidak moral dan perlu dikikis
Apartheid de facto tidak moral dan perlu dikikis Print E-mail
Translation
Written by Dr Boo Cheng Hau   
Monday, 05 October 2009 18:30
Share Link: Share Link: Bookmark Google Yahoo MyWeb Del.icio.us Digg Facebook Myspace Reddit Ma.gnolia Technorati Stumble Upon

 

(Terjemahan daripada Bahasa Inggeris oleh CPI)

  Dr Boo Cheng Hau

Saya merujuk kepada rencana di Malaysiakini bertajuk ‘Why Malaysia is not like South Africa’.

Saya telah memberi pendapat apartheid bukanlah semata-mata pemisahan fizikal di antara perbagai kaum di Afrika Selatan, dan penulis rencana [Ong Kian Ming] bersetuju dengan saya. Apartheid sebenarnya membabitkan dominasi ekonomi, politik, dan sosial oleh satu bangsa terhadap satu bangsa yang lain. Namun, saya tidak bersetuju sama sekali dengan pandangan beliau bahawa apartheid semestinya bertitik-tolak dari pengasingan secara fizikal.

Afrika Selatan masih lagi bergelut dengan saki baki apartheid. Pada hemat saya, seseorang itu tak harus terlalu menitik-beratkan ciri fizikal apartheid tetapi sebaliknya memikirkan hasil jangka panjang dasar apartheid, iaitu penindasan dari aspek sosio-ekonomi dan tekanan mental kerana mangsanya diberikan label mengikut warna kulit dan status keturunan.

Ramai telah tersalah anggap bahawa apartheid adalah satu jenis diskriminasi kaum kerana orang berkulit putih mengangkat diri mereka sebagai tuan. Yang sebenarnya, ianya layanan istimewa diberikan kepada puak Afrikaner (orang Afrika Selatan berasal dari Belanda). Afrikaner dimangsakan oleh penjajah British dalam Perang Boer, dan beribu-ribu di antara mereka yang bergelar Boer Trekkers terkorban dalam peperangan sivil tersebut. Apartheid ditakrifkan sebagai ‘pembangunan berasing’.

Ketuanan Melayu Umno adalah dominasi suatu kaum di negara berbilang bangsa. Ini adalah ideologi yang sama bentuknya dengan yang diamalkan oleh Parti Kebangsaan Afrika Selatan sewaktu mempertahankan nasionalisme Afrikaner, dan menonjolkan sistem ekonomi kapitalis yang dicorakkan kerajaan.

Pada suatu masa parti tersebut dibuka hanya kepada orang Afrikaner dan berketurunan Eropah; mereka menggambarkan merekalah memperjuangkan ‘Kedaulatan Afrikaner’ dan ‘Ketuanan Kulit Putih.’

Dasar ideologi Umno pun sama seperti ini kerana perjuangan politiknya berdasarkan nasionalisme Melayu dan ‘bumiputeraisme’. Ia juga menggunakan sistem ekonomi kapitalis naungan kerajaan. Ia hanya menerima orang Melayu atau ‘bumiputera terhad’ (‘limited bumiputra’) sebagai ahli. Mereka membayangkan diri mereka sebagai juara pengacu keris demi kepentingan Ketuanan Melayu.

Tiadalah susah untuk mencari persamaan di antara dua ideologi ini. Kedua-duanya mewujudkan pecah-dan-perintah oleh satu bangsa dominan, sama ada majoriti mahupun minoriti. Mungkin bagi penulis [Ong], dominasi majoriti lebih bermoral dari dominasi minoriti?

Memanglah penulis betul bahawa pengasingan fizikal tidak wujud di Malaysia. Ini kerana pecahan kaum wujud dengan cara menyamar: dalam bentuk Umno, MIC, MCA dan parti politik lain yang berdasarkan bangsa dan memperjuangkan kepentingan bangsa mereka sendiri. Inilah de facto apartheid sungguhpun tanpa perbezaan fizikal yang nyata.

Kaum Afrikaner kulit putih mendakwa status primbumi kaumnya sebagai pembentuk ‘kerajaan bertamadun yang utama’ dalam negara ibu pertiwinya Afrika Selatan. Mereka menyifatkan orang asli lain seperti kaum Khoisan dan Xhosa tiada langsung mendirikan sebarang ‘kerajaan bertamadun’. Kaum lain pula disifatkan sebagai pendatang kemudian. Puak kulit hitam ini tidak dianggap sebagai orang ‘asli’ atau ‘bumiputera’ untuk mendapatkan layanan khas kerajaan.

Hujah-hujah yang sama telah digunakan oleh Umno dan sekutu-sekutunya dalam Barisan Nasional untuk menonjolkan bumiputrraisme. Mereka telah mendakwa orang Melayulah yang mula-mula sekali menegakkan‘kerajaan tulen pertama’ di Tanah Melayu – (baca Dr Mahathir Mohamad: The Malay Dilemma). Jadi kaum Melayu disifatkan sebagai bumiputera sungguhpun yang sebenarnya kaum Orang Asli yang mula sekali mendiami tanah ini.

Kaum pendatang kemudian tiada disifatkan sebagai bumiputera, justeru tidak layak mendapatkan layanan khas kerajaan.

Saya tidak bersetuju dengan tafsiran bahawa rejim apartheid di Afrika Selatan meliputi suatu puak minoriti yang maju dari segi ekonomi dan sosial mendominasi kaum majoriti kelas bawahan. Seperti yang saya katakan tadi, ahli sejarah telah menyatakan Afrikaner berkulit putih telah dikebelakangkan sewaktu Perang Boer dan selepasnya.

Apartheid diwujudkan demi menolong bumiputera kulit putih miskin. Ianya bertujuan untuk menolong Afrikaner kulit putih bersaing dengan orang kulit hitam dalam pasaran kerja. Ini dianggap perlu kerana nyata sekali jumlah pekerja kulit hitam paling ramai, mereka berhijrah ke Afrika Selatan dari seluruh benua, dan mereka sanggup bekerja dengan gaji rendah.

Saya tidak bersetuju dengan penulis bahawa di Malaysia selepas Merdeka, orang Melayu waktu itu adalah satu puak yang memerintah negara ini bersama dengan parti komponen yang mewakili bangsa lain. Sebilangan kecil kaum Cina dan India mampu berniaga secara kecil-kecilan, namun sebilangan besar dari mereka hanyalah buruh kasar dan pekerja ladang.

Statistik juga menunjukkan tahap celik huruf orang Melayu lebih tinggi dari orang Cina atau India selepas Merdeka. Soalnya bukanlah siapa yang lebih kaya dari siapa. Yang sebenarnya kita semuanya dalam keadaan kesusahan, sungguhpun satu kaum lebih susah dari kaum kain. Sungguhpun begitu, ini bukanlah satu alasan yang berasas untuk menghina sesuatu kaum atas sebab-sebab keturunan.

Ekoran ini, ramai orang Melayu sendiri dan orang Malaysia yang lain terasing atau diasingkan oleh kepimpinan minoriti elit Umno dan Barisan Nasional. Apartheid adalah satu rejim elit yang mana kuasa dipegang sejumlah yang kecil.

Ahli sejarah memberi kesimpulan bahawa dalam pemerintahan apartheid Afrika Selatan “bangsa adalah kelas dan kelas adalah bangsa” (‘race is class, class is race’).

Ini bermaksud kepimpinan elit adalah mereka yang berkulit putih sungguhpun ada juga bangsa-bangsa lain yang bersekongkol. Mereka mungkin sepakat demi mempertahankan kepentingan masing-masing. Sama juga seperti di negara kita, kepimpinan elit BN terdiri dari ketua-ketua Umno bersubahat dengan sekutu-sekutu MIC, MCA, dan lain-lain.

Saya bersetuju kewibawaan dan asas perlaksanaan DEB perlu dipertikaikan dan sejarah dikaji semula sebelum kita mampu mara ke hadapan sebagai satu negara. Saya mengkritik Umno kerana ia mesti berubah demi kepentingan negara ini. Saya tiada sebarang sebab untuk cuba menimbulkan kebencian terhadapnya.

Tindakan penegasan (affirmative action) bukanlah berpaut kepada kedaulatan dan keagungan satu kaum. Tindakan penegasan pastilah diusahakan dengan keindividuan (individualisation) dan telus. Tindakan penegasan seharusnya boleh dicabar dalam mahkamah. Adakah kemungkinan ini berlaku di Malaysia? Tiada langsung, manakala setakat ini DEB, dan Dasar Pembangunan Baru (NDP) yang menyusuli DEB, dilindungi undang-undang zalim seperti ISA, OSA, dan seumpamanya.

Pelaksanaannya mencabuli hak asasi manusia dan menggalakkan amalan berunsur rasuah seperti kronisme, nepotisme dan berbagai-bagai jenis diskriminasi. Saya yakin DEB dan NDP lebih serupa dengan apartheid daripada tindakan pengesahan. Ini bukan sahaja dari segi moralnya malah juga dari cara ia dianjurkan.

DEB dan NDP menyebabkan masyarakat kita ketinggalan dari segi sosio-ekonomi dan politik berbanding ‘naga kecil Asia’ yang lain. Kedua, dasar-dasar bertahap perkauman telah melahirkan hanya satu kelompok elit Melayu serta mereka yang bersubahat dengannya. Ketiga, sebahagian besar golongan miskin masih terpinggir dan menyebabkan rakyat berpecah menurut garis perkauman dan kelas.

Mungkin ada yang pihak yang mengujar bahawa ekonomi Malaysia memang berkembang sepanjang tempoh perlaksanaan DEB dan NDP iaitu selama 30 puluh tahun. Sama juga dengan ekonomi Afrika Selatan yang berkembang selama hampir dua dekad di bawah apartheid tanpa kemerosotan.

Dalam dua negara ini, satu kelas elit dari berbilang kaum muncul maju hasil dari layanan istimewa tetapi ini bukanlah suatu justifikasi terhadap tindakan Umno yang tidak bermoral, dan kekangan hegemoni politik Barisan Nasional.

Saya berpendapat Pakatan Rakyat perlu mara ke hadapan dalam sebagai satu gagasan. Saya memohon agar semua komponen parti ini mengelolakan aktiviti bersama-sama seperti Maulidur Rasul, Hari Raya Haji, Tahun Baru Cina dan Deepavali dengan melawat semua kaum Malaysia yang memerlukan bantuan.

Pakatan Rakyat tidak boleh sekadar berpeluk tubuh tetapi patut turun padang dan berkomunikasi dengan rakyat. Media massa yang dikuasai Umno, dengan propagandanya telah mendorong penduduk Johor yang berketurunan Melayu untuk tertanya-tanya mengapa saya menyifatkan kepincangan Amanah Saham Johor dan Dana Johor sebagai ‘apartheid’.

Tambahan lagi, sebahagian besar penanam modal ASJ dan Dana Johor terdiri dari golongan Umno, hanya sebahagian kecil dari MCA dan MIC. Ada di kalangan ahli-ahli Umno, MCA dan MIC Johor yang sudah hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan mereka sendiri. Pemimpin Umnolah yang tergugat mendengar ucapan saya, sementara akar-umbi parti itu hanya menepis insiden tersebut.

Dakwaan [oleh penulis rencana Ong Kian Ming] bahawa saya adalah pemimpin suatu parti [DAP] yang sebahagian besar ahlinya kaum bukan-Melayu, dan berkhidmat di kawasan yang majoritinya bukan-Melayu adalah satu tuduhan yang tidak betul. Saya hanya menyalurkan perasaan tersinggung yang dirasai oleh kaum bukan-Melayu.

Isu ASJ dan Dana Johor menyentuh bukan sahaja orang Johor dari berbilang kaum, walhal dari ahli-ahli BN sendiri. Ucapan saya diatur secara strategik untuk menimbulkan kesedaran ahli BN dan juga semua rakyat Johor atas kegagalan dasar ekonomi BN yang kerapkali mengundang campurtangan kerajaan.

Ada yang menyatakan cara saya menyamakan rejim Barisan Nasional dengan rejim apartheid Afrika Selatan membuka ruang bagi BN dan media massa memperalatkan ucapan saya untuk menyerang Pakatan Rakyat. Saya tidak sama sekali bersetuju dengan pandangan ini.

Saya hanya bertujuan untuk meletakkan isu ini dalam rangka sejarah yang tepat, untuk membolehkan kita mencari jalan baru mara ke hadapan. Nyata sekali, cadangan Anwar Ibrahim supaya Ketuanan Rakyat menggantikan Ketuanan Melayu tepat pada masanya. Saya hanya mengemukakan alasan-alasan kenapa Ketuanan Rakyat harus mengetepikan Ketuanan Melayu ke dalam perspektif sejarah.

Saya sering diperingatkan [oleh orang seperti Ong] bahawa hanya orang Melayu sahaja yang mampu membahaskan isu DEB dengan sensitif tanpa menguris hati kaum bumiputera.

Kenapa kita juga bersifat apartheid dengan hendaknya menentukan kaum mana yang sesuai memberi pertimbangan bagi sesuatu isu? Walau barang sesiapapun dari Pakatan Rakyat, jikalau mencetuskan topik perbahasan ini, pasti akan dimomok-momok oleh media massa yang dikuasai oleh Umno. Justeru itu, mestikah kita duduk senyap sahaja sementara menunggu sokongan rakyat datang menggolek?

Ketahuilah saya dari dulu lagi prihatin terhadap isu peneroka Felda dan Melayu setinggan. Rakan-rakan Pakatan Rakyat saya yang lain seperti Mazlan Aliman dan Zulkifle Ahmad telah membahas isu lain bukan juga dari kacamata perkauman. Kami berpendapat semua pemimpin Pakatan Rakyat mesti mengambil berat apapun isu yang menyentuh keseluruh rakyat Malaysia.

Jangan pula kita kelirukan bantuan yang dihulurkan kepada orang miskin tanpa mengira kaum dengan ciri-ciri apartheid. Saya percaya tafsiran saya mengenai ‘apartheid’ – yakni, satu rejim yang mengembangkan pembangunan sosio-ekonomik berdasarkan kedaulatan satu kaum di bawah perlindungan undang-undang zalim yang menguntungkan satu kelas pemerintah elit – adalah relevan dalam konteks politik Malaysia.

BN dan Umno yang dalam keadaan terdesak akan mengungkitkan apa jua pun untuk membidas Pakatan Rakyat. Sama ada produktif atau tidak bagi saya membincangkan DEB dengan memberikannya perspektif sejarah yang sesuai, namun saya percaya kita perlu bincangkan isu ini dengan mendalam. Adalah penting Pakatan Rakyat sendiri mempunyai perspektif yang betul, sebelum kita layak mempertahankan Ketuanan Rakyat.

Dr Boo ialah pengerusi DAP Johor dan ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri.

Nota pengarang:

Rencana Ong Kian Ming diterbitkan di Malaysiakini pada Mac 13, 2009. Terjemahan daripada Bahasa Inggeris boleh dibaca dalam laman CPI, ‘Mengapa Malaysia tidak seumpama Afrika Selatan’

Jawapan Dr Boo Cheng Hau kepada Ong berbentuk sepucuk Surat kepada Pengarang bertajuk ‘Immorality of de facto apartheid must go’ dan diterbitkan di Malaysiakini pada Mac 20, 2009. 

Comments (2)
  • mak jun yeen

    Ramai yg telah mengajukan bahawa negara kita adalah sebuah negara apartheid.

    Walaupun saya setuju dengan saudara Dr Boo bahawa pada pemikiran dan semangat di didukung oleh pihak parti Umno yang memerintah sekarang mempunyai persamaan dengan falsafah ideologi apartheid yang didukung oleh Nasionalis Afrikaner dahulu, tapi pada hakikatnya, Malaysia belum sampai kepada tahap apartheid.


    Di SA, apartheid telah dilaksanakan secara mengambil institusi pemerintahan dan melaksanakan pemisahan pembangunan secara berasingan bagi kaum-kaum dengan kaum Akrikaner berkulit dan Inggreris berkulit putih diletakkan di atas.

    Pemisahan ini dilakukan secara paksa dengan penggunaaan kuasa monopoli pemerintah menggunakan kekerasan terhadap mereka yang enggan mengikut.

    Pemisahan ini dilakukan dalam setiap aspek masyarakat.

    Di Malaysia konsep "Ketuanan Melayu" berbeza dalam ia boleh memasukkan kaum-kaum lain berdasarkan agama.

    Pada suatu ketika dulu, konsep "Melayu" pun anjal dan cuba merangkumi bangsa-bangsa bukan Muslim termasuk kaum-kaum Cina atas konsep kenegaraan dan warganya.

    Di Malaysia, pemisahan kaum secara fizikal adalah secara sukarela, pada kelas rendah dan juga kelas atasan. Majoriti manusia Malaysia tidak endah dan tidak peduli pada kaum yg lain, masing masing inginkan pemisahan.

    Majoriti tidak suka berkahwin meneberangi kaum dan agama walaupun digalakkan pemerintah.

    Di SA, perkahwinan antara manusia berbeza warna kulit diharamkan pemerintah.


    Namun perkahwinan campur berlaku juga dan tiada hukuman yang dijalankan oleh pemerintah, mungkin dalam situasi extrim pihak pasangan mungkin dihukum oleh ahli kelurga mereka tapi di Malaysia pasangan bebas bergaul.

    Perkahwinan campur adalah suatu benteng tahanan terhadap anasir Apartheid yang mungkin didukung oleh pihak ideologue party pemerintah.

    Semuanya berdasarkan kepada titik permulaan definisi "apartheid", jika saudara Dr Boo mentakrifkannya sebagai "satu rejim yang mengembangkan pembangunan sosio-ekonomik berdasarkan kedaulatan satu kaum di bawah perlindungan undang-undang zalim yang menguntungkan satu kelas pemerintah elit", maka itulah "apartheid" untuk Dr Boo.

    Takrif ini luas, dan sekiranya dikaji secara teliti, banyak negara lain, maju dan tak maju akan tergolong dalam takrifannya.

    "Kebumiputeraan Melayu"

    Satu pendapat akhir, saya kurang senang dengan hujahan yang sering dilaungkan untuk menidakkan "Kebumiputeraan" kaum Melayu vis -a-vis Orang Asli.

    Pemerintah tidak pernah menidakkan kebumiputeraan Orang Asli dan sememangnya Perlembagaan melalui art 153 mmberi perlindingan sama kepada pihak Orang Asli dan Kaum "Pribumi" yang lain.

    Saya terkilan dengan apa tujuan konsep di belakang Orang Asli = Bumiputera Tulen dan Melayu = Orang pendatang Indonesia.

    Mungkin ia lebih senang digarab oleh pihak politik pembangkang untuk melayari sentimen orang-orang yang kecewa dengan dasar DEB yang mesra Bumiputera( kebanyakkan dibolok oleh pihak politikus elit dari satu kaum), namun ia tidak didasarkan kepada bukti sejarah yang konkrit.

    Debat ini panajang dan saya kena tunggu masa lain untuk berbahas isu ini.

  • Dr. Boo Cheng Hau  - Bukan Semua Melayu Bersalah Kepada Neo-Aparthied a

    Ramai kawan saya berbangsa Melayu terkilan sebab saya menyamakan Bumiputerasim di bawah UMNO dengan Apartheid.

    DEB berasaskan prejudis perkauman di mana semuan orang India dan Cina aldah kaya. Sebenarnya kebanyakan Orang Indian dna Cina pada wantu DEB dilancarkan adalah pekerja estet, buruh kilang dan orang makan gaji.

    Golongan tauke itu meruoakan segelintir dari Orang Putih dan Cina tidak melebihi 1% populasi.

    Pada tahun 1969 kebanyakan ekuiti iaitu 70% adalah di dalam tangan syarikat asing. Tauke Cina yang mampu memiliki wkuiti dan kedai-kedai kecil pun tidka lebih dari 10% populasi Cina.

    Penstrukturan masyarakat semula tidak sepatutnya berasaskan perkamuan dan status natif seperti yang ditafsirkan oileh rejim apartheid.

    Lagipun bukan semua Melayu khsanya roang PAS dan PKR dan juga sebahagian besar orang Melayui jelata septutnya bertanggungjaab kepada apartheid a la UMNO.

Write comment
Your Contact Details:
Comment:
[b] [i] [u] [url] [quote] [code] [img]   
Security
Please input the anti-spam code that you can read in the image.