Sunday, April 20, 2014
   
Text Size

RokAjaxSearch

Penganut agama Islam hari ini

Azmi Anuar

islam-muslimBismillahirRahmanirRahim. “Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani”, begitulah makna kalimah yang sudah sebati dengan setiap penganut agama Islam.

Melihat keadaan sekelilling dan tindakan umat Islam hari ini, tertanya-tanya pula adakah kalimah ini yang diucap sebelum melakukan sesuatu, sudah benar-benar menjadi darah daging setiap Muslim. Perkataan Islam bermaksud ‘penyerahan’, atau penyerahan diri sepenuhnya kepada Allah dan penganut Islam dikenali sebagai Muslim, bermaksud ‘seorang yang tunduk kepada Allah’.

Di Malaysia, mungkin boleh dipersoalkan sama ada umat Islam berserah dan tunduk kepada Yang Maha Esa dan adakah pula setiap tindakan menghayati sifat Yang Maha Pemurah dan Yang Maha Mengasihani?

Para cendekiawan dan pemimpin Islam di negara ini menjadi teladan kepada orang ramai dalam menjalani hidup di landasan yang diredhai. Peringatan harus diberi kepada semua Muslim Malaysia bahawa apabila guru kencing berdiri, janganlah pula anak murid kencing berlari.

Para ulama mungkin telah belajar bertahun-tahun mendalami ilmu agama yang akan disebarkan dan digunapakai oleh semua tetapi teguran dan maklumbalas daripada orang ramai janganlah dipandang enteng. Tidak ada seorangpun di antara kita yang sempurna dan hujah serta pendapat yang berbeza tidaklah perlu diketepikan begitu sahaja. Pendekatan yang lebih holistik perlu diadaptasi supaya penganut agama Islam tidak berasa dipinggirkan atau diperbodoh-bodohkan.

Garis panduan yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam menentukan perayaan orang bukan Islam yang boleh dihadiri oleh orang Islam memberikan beberapa kriteria utama supaya ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Penganut agama Islam di negara ini diharapkan terpelihara akidah mereka jika mematuhi garis panduan tersebut.

Di dalam masyarakat majmuk negara ini dan dunia tanpa sempadan, penganut agama Islam memang terdedah kepada banyak perkara yang boleh menggugat keimanan mereka. Termasuklah juga lambaian menggoda wang ringgit, bukan?

Setakat ini panduan dan larangan yang dikeluarkan oleh Jakim dan badan-badan yang mengawalselia urusan agama Islam di negara ini diterima ramai tanpa ragu-ragu kerana penganut agama Islam percaya pakar-pakar agama yang bertauliah telah meneliti segala aspek sesuatu isu sebelum dilaksanakan.

Keraguan timbul misalnya apabila ada pegawai jabatan agama yang sabit kesalahan atas tuduhan rasuah dalam menjalankan tugas mereka. Bukankah ini menyalahgunakan kuasa yang diberi tambahan pula bekerja di jabatan agama?

Inilah yang membimbangkan ramai orang Islam dan bukan Islam di negara ini jika para ulama dan pemimpin agama diberi kuasa memerintah dan menguasai setiap aspek hidup rakyat.

Pokok Krismas tidak mengugat akidah

Penyalahgunaan kuasa memang menyimpang jauh dari konsep ‘menyerah’ dan ‘tunduk’ dalam Islam. Kenapa salahlaku seperti ini tidak didebat dan diperkatakan dengan lebih meluas oleh para ulama dan mereka yang beria-ia mempertahan akidah umat Islam?

Di dalam garis panduan tentang orang Islam bersama-sama dalam perayaan agama orang bukan Islam tersebut bahawa majlis itu hendaklah tidak disertakan dengan upacara-upacara yang bertentangan dengan akidah Islam dan diberi contoh simbol-simbol agama seperti salib, memasang lampu, lilin, pokok Krismas dan sebagainya. Memang rapuh sungguh pegangan agama orang Islam jika akidah mereka boleh tergugat apabila berhadapan dengan pokok Krismas.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 3-4 Februari 1986 telah mengambil keputusan bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam dan kerajaan pula telah mempunyai dasar penerapan nilai-nilai Islam dalam pentadbiran semenjak tahun 1985. Dasar ini merupakan usaha tambahan selain daripada penubuhan sekolah-sekolah menengah agama berasrama penuh, Universiti Islam Antarabangsa, Bank Islam, Syarikat Insurans Islam dan pengukuhan Bahagian Hal-Ehwal Islam, Jabatan Perdana Menteri yang giat dilaksanakan.

Memang menarik bahawa semua usaha ini memperlihatkan wajah Islam secara hakiki tetapi di mana jiwanya? Menurut dasar penerapan Islam tadi, objektifnya termasuklah:

(i)  Membentuk sebuah masyarakat Malaysia yang bermaruah, beridentiti

kukuh dan disegani oleh masyarakat lain;

(ii)  Menubuhkan sebuah ‘negara bahagia’;

(iii) Menghapuskan  sikap yang negatif dalam menjalankan tugas yang

dipertanggungjawabkan; dan

(iv) Menghasilkan perkhidmatan yang bermutu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, berdasarkan kepada objektif-objektif ini adalah jelas bahawa dasar ini bukannya bertujuan mengislamisasikan rakyat Malaysia yang bukan beragama Islam, tetapi sebenarnya memupuk amalan nilai-nilai murni yang boleh diterima oleh semua pihak dan golongan kerana agama-agama lain juga menitikberatkan amalan nilai-nilai seperti ini.

Selain itu hanya sebelas daripada nilai-nilai Islam yang banyak telah dipilih untuk dijadikan asas dasar ini. Nilai-nilai tersebut ialah:

  • Amanah

  • Tanggungjawab

  • Ikhlas

  • Dedikasi

  • Sederhana

  • Tekun

  • Bersih

  • Berdisiplin

  • Bekerjasama

  • Berbudi Mulia; dan

  • Bersyukur

 

Amanah di tempat pertama dan setakat ini apa yang kita lihat? Pecah amanah berleluasa bukan sahaja di kalangan penguatkuasa peringkat bawahan tetapi melibatkan juga pak menteri dan mereka yang berjawatan tinggi serta mempunyai pengaruh.

Bantah konsert tapi tak protes rasuah?

Akidah umat Islam memang perlu dan wajib dipertahankan dan seiring dengan itu takrif akidah itu sendiri perlu diperluas merangkup nilai-nilai Islam yang dijadikan asas tadi.

Nilai-nilai tadi mesti menjadi teras akidah seseorang penganut Islam juga dan seharusnyalah protes, bantahan dan himpunan beramai-ramai diadakan dengan ucapan berapi-api daripada para pemimpin dan ulama supaya umat Islam tidak kecundang apabila dilanda musibah nilai-nilai sedemikian tidak dipraktikkan sepenuhnya.

Misalnya, setiap kes pecah amanah yang sabit kesalahan mestilah diberi ruang utama di muka hadapan akhbar-akhbar dan laporan tentangnya hendaklah diteruskan seberapa lama yang mungkin.

Segala bantuan mesti diberi mencari sebab musabab pecah amanah itu berlaku supaya dapat dibanteras dari akar umbinya. Usaha ini mungkin mengambil waktu kerana kalau perbuatan pecah amanah itu diketahui hanya setelah kes tersebut dihadapkan ke mahkamah, bermakna ada kemungkinan mereka yang terlibat merangkumi kumpulan yang lebih besar.

Kes pecah amanah memang patut diberi perhatian serius kerana kes-kes ini melibatkan wang ringgit yang sepatutnya digunakan dalam memperbaiki taraf hidup golongan berpendapatan rendah.

Kesempitan hidup juga boleh menyebabkan akidah seseorang penganut agama Islam goyah seperti apa yang terjadi di dalam kes pada tahun lalu iaitu sekumpulan umat Islam yang terpaksa menerima perlindungan di sebuah gereja di Selangor. Kelemahan agensi kerajaan yang diamanahkan membantu mereka yang memerlukan, juga perlu ditangani supaya kes-kes penganut agama Islam berlindung di bawah naungan agama lain dapat dibanteras.

Akidah seseorang bukan sahaja tergugat kerana melihat pokok Krismas dalam acara agama bukan Islam atau Islam terhina kerana kalimah Allah tertulis di dada seorang penyanyi, malah penghinaan terhadap Islam dan krisis akidah umat Islam meliputi lebih banyak isu yang asas.

Tidak memegang amanah dan membiarkan golongan miskin melarat tentu sahaja sama penting. Malahan hukuman yang dikenakan kepada seorang imam kerana membaling kasutnya ke arah hakim mahkamah pula mengajak kita merenung semula  kalimah BismillahirRahmanirRahim.

“Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani”. Pemurah dan penyayang, itulah kalimah yang diucapkan sebelum melakukan sesuatu dan janganlah hanya sebagai kata-kata tetapi biarlah merangkumi apa sahaja yang kita lakukan.

Announcement

History series

malaya-aaa

edu

Connect



Latest Articles