Sunday, April 20, 2014
   
Text Size

RokAjaxSearch

Teruja dengan bajet rebat RM200 untuk telefon bimbit pintar?

Azmi Anuar

bajetTeks ucapan bajet 2013 bertajuk ‘Memakmur Negara, Mensejahtera Rakyat: Sebuah Janji Ditepati’ memang sekali imbas begitu menarik dan menggembirakan semua. Apakan tidak, lihat sahaja segala pemberian dari kerajaan yang begitu prihatin terhadap rakyat, di antaranya:

  • RM500 untuk isi rumah berpendapatan bawah RM3,000 di bawah skim BR1M 2.0
  • RM250 untuk individu bujang, 21 tahun ke atas dengan pendapatan bawah RM2,000
  • Bonus 1.5 bulan untuk 1.4 juta penjawat awam
  • RM500 untuk pesara
  • RM820 pencen minimum yang memanfaatkan 50,371 pesara
  • Baucar buku RM250 yang bertambah dari RM200 sebelumnya untuk pelajar IPT dan Tingkatan Enam
  • Diskaun 20% bagi penyelesaian sekaligus pinjaman PTPN sehingga 30 September 2012
  • Diskaun 10% bagi bayaran pinjaman secara konsisten

Untuk anak muda, berita paling menggembirakan pasti rebat RM200 one-off kepada belia berusia 21-31 tahun bagi pembelian satu unit telefon mudah alih pintar 3G. Walaupun begitu ada juga anak muda yang berpendapat bahawa peruntukan ini seharusnya digunakan untuk keperluan lain yang lebih mendesak seperti peningkatan sistem pengangkutan awam yang lebih baik dan membaikpulih hospital awam yang sedia ada.

Ada suara-suara yang mempersoalkan bagaimana kerajaan akan membiayai segala perbelanjaan ini kerana hutang negara akan meningkat kepada 53.7 peratus daripada KDNK pada tahun ini. Jumlah hutang dijangka meningkat 10.1 peratus kepada RM502.4 bilion disebabkan pinjaman domestik yang lebih tinggi untuk memenuhi pembiayaan.

Namun, menurut Menteri Kewangan Kedua, Ahmad Husni Hanadzlah, kerajaan sentiasa mengukur kemampuan membayar balik dengan mengambil kira pelbagai faktor. Rakyat juga tidak perlu bimbang peningkatan hutang negara seperti digembar-gemburkan pembangkang kerana kerajaan mampu dan membayarnya.

Lega hati rakyat apabila membaca penjelasan si menteri.

Banyak berbelanja baik punya

Kita yang berkeluarga dan mempunyai tanggungjawab sendiri boleh mengambil iktibar dan mengikuti contoh bagaimana kerajaan menguruskan perbelanjaannya. Jangan risau apabila hutang seseorang meningkat 53.7 peratus daripada pendapatan kasarnya kerana ini semua hanyalah gara-gara pinjaman domestik yang lebih tinggi. Pinjaman yang dibuat untuk pembangunan masa hadapan.

Manakan tidak, kita sekarang di era telefon pintar 3G dan tablet. Masing-masing mahukan dan berlumba-lumba memiliki semua yang terbaru dan tercanggih. Apa nak dirisaukan pula, tunjuk sahaja kad kredit kepada penjual dan kita boleh membuat bayaran ansuran. Memang digalakkan pun, membeli dengan lebih banyak dan kerap merupakan salah satu sumbangan kita dalam merancakkan kegiatan ekonomi negara.

Bajet 2012 mempunyai lima fokus utama:

  • Merangsang aktiviti pelaburan
  • Memperkasa pendidikan dan latihan
  • Membudayakan inovasi dan meningkat produktiviti
  • Konsolidasi fiskal dan mempercekap penyampaian perkhidmatan awam
  • Kesejahteraan rakyat

Lihat sahaja fokus yang tertera dan memang kerajaan cuba sedaya upaya membangunkan negara dengan matlamat mensejahterakan rakyat. Rakyat yang sejahtera nanti di tahun-tahun mendatang pasti berterimakasih kerana segala perancangan yang dicadangkan dan akan dilaksanakan dalam tempoh yang ditetapkan memberi manfaat yang tidak terkira kepada semua golongan. Tidak kira miskin kaya, tua muda, lelaki wanita mahupun yang terpinggir selama ini.

Peruntukan untuk program Kebajikan Rakyat 1Malaysia (Kar1sma) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat misalnya berjumlah 1.2 bilion ringgit meliputi program bantuan warga emas, bantuan kanak-kanak, elaun pekerja orang kurang upaya serta bantuan penyakit kronik.

Macam inilah pemerintah yang prihatin yang dikehendaki dan disenangi ramai, cuma kita harap-harap tidak ada peruntukan yang tiris ke tempat lain pula, itu sahaja.

Kerajaan juga telah melancarkan program 1AZAM atau Akhiri Zaman Miskin yang bertujuan menyediakan peluang menjana pendapatan kepada golongan berpendapatan rendah. Antara program di bawah inisiatif ini adalah Azam Kerja, Azam Tani, Azam Niaga dan Azam Khidmat. Untuk ini, kerajaan memperuntukkan sejumlah 400 juta ringgit yang dijangka dapat memanfaatkan sebanyak 58,330 peserta.

Kita amat-amat berharap golongan paling ke bawah di dalam masyarakat kita ini akan menerima manfaatnya dan mereka yang miskin tegar semakin berkurangan dan terhapus terus dari statistik tahunan negara. Usaha yang baik ini mesti disokong oleh semua pihak, baik badan-badan bukan kerajaan mahupun kakitangan awam sendiri yang melaksanakan dan memantau projek-projek tersebut.

Kita mahu lihat hasil yang positif dan memang menjadi impian semua, peruntukan untuk golongan ini digunapakai dengan sebaik-baiknya kerana tidak ada makna mendabik dada, Malaysia telah berjaya menjadi sebuah negara yang maju jika masih ada segelintir walaupun hanya beberapa nyawa yang masih berada di tahap kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

GST ke atas barangan mewah

Apabila dibandingkan dengan tulisan Ramon Navaratnam, pengerusi Pusat Kajian Polisi Awam (CPPS) Asli di Kuala Lumpur, sebelum bajet 2013 diumumkan, apa yang disarankan beliau masih banyak yang belum lagi diambil kira didalam laporan bajet tersebut.

Dia bimbang tentang implikasi jangka panjang bajet yang terlalu pemurah yang boleh membawa kesan penurunan kedudukan kewangan kita di mana agensi-agensi seperti Fitch, dan Standard & Poor’s, malahan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sendiri. Tidak kurang penting juga, pelabur asing mahukan jaminan bahawa ekonomi negara terus diurus dengan disiplin fiskal dan pengendalian yang baik.

Salah satu strategi penting dalam bajet seharusnya mengutarakan langkah-langkah mengawal inflasi. Kenaikan harga barang yang berpunca daripada pelbagai sebab dan peranan bajet mengurangkan kekangan dalam bekalan barangan dan perkhidmatan boleh membendung sedikit sebanyak gejala inflasi daripada bermaharajalela.

Kekangan dalam bentuk cukai dan kerenah birokrasi juga harus dihapuskan supaya dapat menyemarakkan lagi perusahaan kecil dan sederhana. Dana strategik untuk pelaburan domestik sebanyak RM1 bilion untuk penyumberan luar dan pemerolehan teknologi adalah satu peruntukan yang besar dalam usaha menyokong pelaburan di dalam negara tetapi seiring dengan jumlah wang yang begitu banyak, mestilah ada usaha berterusan daripada pihak berwajib memudahkan urusan melaksanakan projek-projek yang telah dikenalpasti.

Pemantauan yang berterusan juga perlu untuk memastikan wang yang diperuntukkan benar-benar disalurkan kepada pihak yang memerlukan. Tidak ada faedahnya jika peruntukan yang sebegitu banyak digunakan untuk tujuan yang lain yang menyimpang jauh daripada matlamat asalnya. Kita semua mesti mengambil iktibar daripada peristiwa National Feedlot Corporation (NFC).

Ramon Navaratnam juga menulis bahawa biarlah bajet membantu golongan miskin dan golongan kaya berusaha sendiri oleh kerana perusahaan yang besar-besar terutama pelabur asing dan multinational menikmati lebih banyak kemudahan dalam bentuk insentif dan pelepasan cukai.

Dia menekankan bahawa cukai yang diperolehi daripada rakyat mestilah digunakan dengan lebih cekap melalui pembukaan tender untuk kontrak-kontrak, mengurangkan gejala rasuah secara drastik dan menghapuskan kontraktor dan pengusaha yang tidak cekap.

Salah satu cadangannya yang tidak kelihatan di dalam bajet 2012 ialah pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang boleh diperkenalkan terhadap barangan dan perkhidmatan yang dinikmati oleh golongan berpendapatan tinggi. Pelepasan cukai untuk golongan berpendapatan rendah boleh dikurangkan dan ini terbukti dalam bajet 2013 yang memberikan 1% pengurangan kadar cukai pendapatan bagi kumpulan pendapatan bercukai tahunan RM2,500 hingga RM50,000.

Usaha ini lebih positif daripada rebat RM200 untuk telefon bimbit pintar kerana hakikatnya memang ramai yang mengidamkan telefon seeperti itu tetapi masih terkapai-kapai mengimbangi bajet isi rumah masing-masing. Telefon bimbit pintar harus diketepikan dahulu, makan pakai dan tempat untuk berlindung adalah lebih utama.

 

Announcement

History series

malaya-aaa

edu

Connect



Latest Articles