Saturday, April 19, 2014
   
Text Size

RokAjaxSearch

Penjagaan bagi pesakit tahap kritikal

Azmi Anuar

hospitalPerbualan bersama-sama seorang rakan yang telah menjalani pembedahan merawat penyakit kanser yang dikesan di kakinya pada tahun dahulu membawa kami merenung bagaimana nasib mereka yang mengalami keadaan yang serupa tetapi tidak berkemampuan mendapatkan rawatan yang sewajarnya.

Dia sendiri telah diberitahu setelah menjalani pemeriksaan x-ray baru-baru ini bahawa sel kanser didapati telah merebak ke bahagian paru-parunya. Pembedahan dan rawatan susulan yang diberi sepanjang tahun nampaknya tidak berhasil menghapuskan semua sel kanser. Pihak hospital meminta dia datang untuk menjalani pemeriksaan CT scan pada bulan berikutnya walaupun kesnya merupakan kes pesakit kanser pada tahap yang kritikal.

Itulah salah satu kelemahan pentadbiran hospital awam kerana rakan saya yang telah pergi ke sebuah hospital swasta untuk mendapatkan pandangan kedua telah diberitahu bahawa pemeriksaan CT scan boleh dijalankan dengan serta-merta jika perlu.

Apa yang pasti hospital awam menghadapai pelbagai kekangan sama ada dari segi peralatan mahupun kakitangan yang berkelayakan. Mungkin akibat kekangan itulah, pesakit terpaksa menunggu lama untuk pemeriksaan atau rawatan susulan. Menunggu bukan sesuatu yang aneh dihospital awam. Perhatikan sahaja barisan pesakit yang menunggu giliran untuk bertemu doktor di mana-mana hospital awam dan setelah diperiksa, menunggu pula untuk mengambil ubat.

Apabila dibandingkan dengan hospital swasta yang mengenakan caj lebih tinggi untuk segala jenis perkhidmatan yang diberikan jelas sekali perbezaannya. Kos bertemu seorang doktor di hospital swasta selama sepuluh minit kadang-kadang sudah cukup memberi kesan kepada pendapatan harian kumpulan berpendapatan rendah.

Itulah hakikatnya, hospital swasta bukan sahaja memberi perkhidmatan perubatan dan rawatan untuk pesakit tetapi merupakan satu bentuk perniagaan.

Perlu membaca syarat-syarat insurans

Insurans kesihatan boleh membantu meringankan kos perbelanjaan rawatan yang tinggi di hospital swasta tetapi itupun tertakluk dengan terma dan syarat yang ditetapkan oleh syarikat insurans. Sesetengah pembeli insurans tidak sedar banyak kekecualian yang ada di dalam sesuatu perjanjian yang ditandatangani.

Apabila seseorang benar-benar memerlukan rawatan dan tidak sanggup menunggu giliran di hospital awam, mereka beralih ke hospital swasta. Malang sekali kadang-kadang mereka gagal menerima rawatan yang diharapkan kerana tidak menepati terma dan syarat di dalam perjanjian.

Mahu tidak mahu, mereka terpaksa ke hospital awam semula kalau masih mahukan rawatan. Apakah yang terjadi kepada mereka yang berada pada tahap kritikal seperti rakan saya yang terpaksa menunggu giliran untuk mendapatkan rawatan di hospital awam.

Nampaknya kumpulan ini terpaksa berserah kepada nasib melainkan mereka mempunyai wang yang mencukupi untuk mendapatkan rawatan di hospital swasta. Kalau pilihan pertama pesakit tadi ialah hospital awam, kemungkinan besar mereka memang tidak mampu beralih arah ke hospital swasta.

Konsep hospital swasta yang lebih cenderung memberi khidmat kepada mereka yang tidak berkemampuan seperti Institut Jantung Negara (IJN) boleh diambil sebagai contoh perkhidmatan perubatan yang perlu diperluaskan. Hospital yang mengenakan caj perubatan mengikut kemampuan pesakit pasti kelihatan lebih mesra masyarakat dan saksama.

Di hospital seperti ini, pesakit yang berkemampuan secara tidak langsung memberi subsidi kepada yang tidak berkemampuan. Kaedah ini memberi peluang kepada kumpulan berpendapatan rendah mendapatkan rawatan yang terbaik pada harga yang berpatutan.

Memerlukan pendekatan yang berbeza

Satu aspek perkhidmatan perubatan yang sering diabaikan ialah tumpuan bersabit penjagaan pesakit yang telah disahkan berada pada tahap kritikal. Kumpulan ini meliputi pesakit yang tidak mempunyai peluang untuk sembuh dan hanya menunggu saat meninggalkan alam fana. Rawatan dan penjagaan susulan untuk pesakit seperti ini memerlukan pendekatan yang berbeza berbanding pesakit biasa.

Malahan cara pihak pengamal perubatan memberitahu pesakit tersebut tentang keputusan x-ray yang tidak memberangsangkan pun misalnya memerlukan pendekatan berbeza. Kaedah dan pendekatan yang membabitkan kumpulan ini perlu dijadikan sebahagian latihan yang penting untuk mereka yang memilih profesion perubatan.

Pilihan rawatan dan apa yang mungkin dihadapi oleh pesakit perlu disampaikan sebaik mungkin setelah keputusan awal diketahui oleh pesakit. Janganlah dibiarkan pesakit terkapai-kapai tanpa apa-apa panduan.

Kejutan menerima keputusan pemeriksaan yang tidak memberangsangkan pasti mempengaruhi keadaan fizikal, mental dan emosi pesakit. Keadaan pesakit setelah menerima laporan kesihatan mesti dipantau kerana boleh menjadi penunjuk sama ada dia berkemampunan menempuh hari-hari terakhirnya dengan tenang dan redha.

Apalah salahnya jika pesakit diberi keyakinan bahawa walaupun dia sedang berada pada tahap kritikal tetapi layanan yang akan diberi akan tetap sama. Pesakit itu bukanlah statistik semata-mata di dalam laporan tahunan pihak pentadbiran hospital.

Kekurangan tenaga mahir yang boleh membantu pesakit yang tidak lagi berupaya mengurus diri sendiri juga perlu ditangani. Mereka yang mempunyai keluarga yang prihatin atau wang yang mencukupi untuk mengambil jururawat persendirian dianggap bernasib baik. Keadaan yang menyedihkan akan dihadapi oleh mereka yang tidak mempunyai sanak-saudara yang boleh membantu dan beban bertambah berat jika tidak berkemampuan.

Rawatan untuk pesakit di peringkat akhir hayat mereka lebih merupakan kaedah dan pendekatan meringankan penderitaan yang dialami. Ubatan-ubatan sahaja tidak mencukupi. Ketika itu kehadiran orang lain yang prihatin tentang keadaan pesakit adalah lebih bermakna. Pesakit memerlukan sokongan moral yang utuh kerana maut yang menunggu mungkin tiba esok atau lusa.

Apabila penyakit sudah tidak dapat disembuh

Kementerian Kesihatan Malaysia yang memperkenalkan perkhidmatan rawatan paliatif pada tahun 1995 juga mempunyai garis panduan yang berkaitan. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan bahawa rawatan paliatif adalah pendekatan yang memperbaiki kualiti hidup pesakit dan keluarga mereka yang menghadapi masalah bersabit penyakit yang mengancam nyawa.

Hospital Pulau Pinang misalnya mempunyai seorang pakar perubatan paliatif yang terlatih dan telah mula bertugas di situ semenjak Mac 2010. Hospital itu mentakrifkan rawatan paliatif sebagai rawatan yang bertujuan memberi keselesaan dan meningkatkan kualiti kehidupan pesakit-pesakit yang mengidap penyakit yang tidak dapat disembuh terutama sekali pesakit kanser peringkat lewat.

Setakat manakah keberkesanannya di hospital-hospital awam? Hakikatnya ketika ini bilangan pengamal perubatan terlatih masih kurang di bidang tersebut yang menyebabkan kebanyakan ahli keluarga dan rakan pesakit sendiri tidak sedar kewujudan kaedah rawatan sedemikian.

Semakin hari semakin ramai yang memerlukan perkhidmatan ini dan langkah-langkah pro-aktif harus diambil oleh pihak Kementerian Kesihatan. Rakyat negara ini berhadapan dengan banyak masalah kesihatan akibat gaya hidup dan pemakanan yang tidak sihat. Apabila nyawa pesakit sudah tidak boleh diselamatkan, biarlah mereka pergi menemui Sang Pencipta dalam keadaan yang tenang dan selesa.

Perkhidmatan rawatan paliatif bukan sahaja bermanfaat bagi pesakit tetapi juga membantu ahli keluarganya. Mudah-mudahan perkhidmatan seperti ini akan diperluaskan kerana perjalanan terakhir hidup seseorang di dunia seharusnya tidak dibayangi penderitaan. Semoga rakan saya dan mereka yang senasib terus bersemangat menghadapi dugaan yang mendatang dengan bantuan perkhidmatan sedemikian.

Announcement

History series

malaya-aaa

edu

Connect



Latest Articles