Thursday, April 17, 2014
   
Text Size

RokAjaxSearch

Kes rogol tidak mengenal cara berpakaian, tempat mahupun rayuan

Azmi Anuar

rape2012 berakhir dengan kesedihan apabila pelajar wanita India yang menjadi mangsa rogol berkumpulan dalam sebuah bas di New Delhi, meninggal dunia berikutan kegagalan fungsi organ dan kecederaan otak, selepas dirawat beberapa hari di sebuah hospital di Singapura. 

Kematiannya telah mencetuskan tunjuk perasaan besar-besaran oleh orang ramai yang mahukan tindakan yang lebih tegas diambil ke atas penjenayah-penjenayah dalam kes-kes yang melibatkan jenayah rogol.

Kes rogol dan keganasan terhadap wanita bukanlah perkara baru malah khalayak ramai mungkin telah lali dengan berita rogol yang disiarkan saban hari kecuali jika kes itu melibatkan peristiwa yang benar-benar meruntun perasaan seperti apa yang terjadi di New Delhi. Kes rogol tidaklah eksklusif terjadi di negara-negara yang sedang membangun seperti India atau negara dunia ketiga yang lain malahan masih berlaku di negara-negara dunia pertama.

Sebuah rencana akhbar di UK menyatakan bagaimana ramai di negara-negara maju menganggap bahawa kes rogol di India itu tidak mempunyai hubungkait dengan keselamatan wanita di negara masing- masing.

Di UK sendiri beberapa tahun dahulu hanya empat peratus responden di dalam satu soal selidik yang dijalankan oleh Amnesty International yang percaya bahawa kes rogol melebihi 10,000 orang setiap tahun. Walhal Plan Tindakan Berhubung Keganasan Terhadap Wanita menunjukkan 80,000 orang dirogol setiap tahun dan 400,000 mengalami serangan seksual. Satu angka yang tidak boleh dipandang ringan.

Malaysia sendiri mencatat 24,635 kes yang dilaporkan di antara tahun 2003-2011. Berapa pula yang tidak dilaporkan? Kes yang dilaporkan pula berkurangan sejak tahun 2009. Nampaknya wanita di negara ini semakin terjamin keselamatan mereka jika dilihat daripada bilangan kes rogol yang semakin berkurangan itu. Benarkah? 

Penekanan harus kepada kaum lelaki

Adakah wanita di Malaysia atau di mana jua benar-benar yakin bahawa mereka selamat daripada percubaan merogol? 

Keyakinan yang amat sukar dimiliki oleh wanita kerana semenjak dari kecil lagi mereka telah dididik supaya  berhati-hati apabila berseorangan. Malangnya jika wanita itu bersama temanpun tidak akan menjamin keselamatannya seperti yang berlaku pada pelajar India tersebut.

Wanita disaran dan diingatkan berkali-kali supaya berhati-hati di tempat awam, tidak berpakaian yang menjolok mata dan digalakkan tahu serba sedikit tentang teknik mempertahankan diri apabila menghadapi keadaan yang mencemaskan.

Kenapa wanita yang mesti mengambil semua langkah keselamatan tersebut? Pucuk pangkalnya perogol itu lelaki dan sudah tiba waktunya penekanan ditumpukan kepada mereka pula. Satu anjakan paradigma dan komitmen yang tidak berbelahbahagi diperlukan daripada semua pihak dengan segera jika masyarakat benar-benar mahu melihat sekurang-kurangnya pengurangan kes rogol dalam masa terdekat ini.

Sikap dan pandangan serong masyarakat termasuk pihak penguatkuasa yang mengendalikan kes-kes rogol terhadap si mangsa masih berterusan sehingga kini. Mangsa rogol itu sendiri sering dipersalahkan seolah-olah peristiwa yang terjadi memang sesuatu yang diidamkan. Pakaian mangsa diambilkira sebagai salah satu faktor penyebab di dalam sesetengah kes rogol.

Perogol tidak memilih mangsanya mengikut apa yang dipakai si mangsa. Perogol hanya mengambil apa juga peluang yang ada untuk menunjukkan kuasanya. Pakaian yang menjolok mata mahupun yang menutup aurat tidak menjadi persoalan utama kepada perogol.

Perogol hanya mahu melepaskan nafsu serakahnya. Dia telah lupa pertimbangan dan nafsu semata-mata yang menguasai tindak-tanduknya ketika merogol. Kasih sayang ketika merogol memang tidak ada langsung dalam kamus si perogol ketika melakukan perbuatan yang keji itu. Rayuan daripada mangsa tidak memberi apa-apa kesan. Malahan tentangan daripada mangsa mungkin menambah kemarahan si perogol dan menyebabkan mangsa diperlakukan tanpa belas kasihan.

Selagi perogol yakin dia boleh lepas

Kes rogol pula berlaku tanpa mengenal tempat asalkan perogol berasa yakin dia boleh melakukannya dan lepas daripada sebarang tindakan susulan. Keadaan semasa yang lebih mempersalahkan si mangsa memberi lampu hijau kepada mereka yang mahu merogol.

Lokasi kejadian rogol tidak terhad kepada sesuatu tempat tertentu. Tempat awam atau di rumah sendiripun tidak menjadi halangan kepada perogol. Lihat sahaja kes-kes haruan makan anak atau perompak yang mengambil kesempatan merogol mangsa rompakan di rumah.

Wanita dipergunakan sebegitu rupa seolah-olah mereka salah satu barangan pakai buang yang mudah didapati di mana-mana. Inilah sikap yang mesti dihapuskan dan diubah dengan sikap hormat menghormati tanpa mengira jantina seseorang.

Pemikiran dan pemahaman sedemikian mesti dipupuk semenjak zaman kanak-kanak lagi. Kanak-kanak mestilah dididik dari awal bahawa lelaki dan wanita mempunyai hak yang sama menikmati hidup di dunia tanpa rasa bimbang tentang keselamatan diri mereka akan dicabul atau diganggugugat.

Pihak lelaki mesti diingatkan setiap masa bahawa wanita bukanlah barang mainan yang boleh diperlakukan sesuka hati. Wanita juga adalah seorang manusia dengan urat saraf dan aliran darahnya yang tersendiri. Jantung yang berdegup, hati yang merasa dan akal fikiran yang berputar ligat. Wanita adalah sebahagian daripada umat manusia yang mempunyai peranan tersendiri, memberi sumbangan di dalam kejayaan sesebuah masyarakat.

Beban tanggapan masyarakat dipikul wanita

Wanita terpaksa berfikiran dan bersedia menghadapi pelbagai risiko sejak dilahirkan. Wanita tidak seharusnya dibebankan sedemikian rupa. Tibalah masanya kita menghadapi kenyataan yang mungkin pahit diterima.

Wanita setakat ini belum boleh dikatakan berupaya hidup tanpa ragu-ragu tentang keselamatan diri mereka. Keberangkalian dirogol tetap wujud walau di mana mereka berada tanpa mengenal usia atau rupa paras.

Memang senario yang negatif dan ketika ini hanya pengurangan kes rogol yang mungkin boleh tercapai. Itupun amat bergantung kepada iltizam dan usaha keras semua pihak yang mahu melihat jenayah rogol berkurangan. Ciri-ciri keselamatan yang diperkenalkan supaya wanita berasa lebih selamat di tempat awam adalah satu langkah yang memang dialu-alukan.

Apa yang lebih penting seperti dinyatakan sebelum ini ialah perubahan sikap terhadap wanita secara keseluruhan mesti ditekankan kepada kanak-kanak dari kecil lagi.

Announcement

History series

malaya-aaa

edu

Connect



Latest Articles