Monday, May 20, 2013
   
Text Size

RokAjaxSearch

Budak diherdik dengan panggilan ‘keling bodoh’

Zaki Samsudin

tanpa-prejudisBeberapa minggu yang lalu, saya telah membawa anak-anak ke taman permainan berhampiran tempat tinggal kami. Taman permainan itu agak luas. Di satu sudut, terdapat alatan permainan kanak-kanak – gelungsur, buaian, jongkang-jongket dan sebagainya – manakala di satu sudut lain terdapat tanah lapang yang walaupun tidak begitu luas, cukup untuk kanak-kanak lelaki bermain bolasepak.

Saya memang minat bolasepak dan suka melihat telatah kanak-kanak cuba mempamerkan skil masing-masing. Tatkala asyik memerhatikan mereka, saya baru sedar dalam kumpulan budak-budak lelaki sekitar 20 orang itu, terdapat seorang budak lelaki berbangsa India. Yang lain semuanya budak-budak Melayu.

Situasi sebegitu bukanlah ganjil sebenarnya. Memang kawasan perumahan itu majoriti penduduknya orang-orang Melayu. Yang ganjil dan amat memeranjatkan saya adalah sikap budak-budak Melayu terhadap budak India tunggal itu. Hampir kesemua mereka memanggilnya “budak keling”.

Bila dia tersilap tendang, diherdik pula dengan panggilan “keling bodoh”. Budak India itu walau bagaimanapun, tetap bersemangat mahu terus bermain. Malangnya dia dipinggirkan. Tidak ada yang mahu menghantar bola kepadanya. Dia cuba juga mengejar sedaya-upaya namun terus dibuli budak-budak yang lain. Tidak cukup dengan itu, tidak putus-putus dia diherdik dengan kata-kata kesat dan menghina.

Budak-budak lelaki yang saya perhatikan hari itu semuanya masih kecil. Pada amatan saya, semuanya berumur bawah 15 tahun. Kerana itulah saya terperanjat dengan sikap mereka terutamanya kata-kata kesat yang keluar daripada mulut mereka. Persoalannya, bagaimana mereka mampu bersikap sedemikian?

Dalam bidang sosiologi, setiap kelakuan manusia dikaji berdasarkan rangkaian interaksi antara agensi-agensi masyarakat daripada yang paling kecil hingga yang paling besar. Individu itu sendiri adalah agensi yang paling kecil, diikuti dengan ibubapanya, adik-beradik, sanak-saudara, jiran-jiran, guru-guru, tokoh-tokoh dan idola masyarakat, dan akhirnya sesebuah masyarakat itu sendiri secara am.

Sukar untuk kita tentukan adakah budak-budak Melayu yang saya ceritakan di atas, sikap dan kelakuan menghina yang mereka tunjukkan itu adalah hasil pengaruh ibubapa atau ahli-ahli keluarga terdekat. Itu hanya boleh ditentukan melalui kajian mikro psikologi personaliti dan psikologi sosial.

Namun kita boleh melihat kepada beberapa contoh kelakuan dan sikap di kalangan tokoh-tokoh masyarakat yang jikapun tidak banyak, pasti ada memberi pengaruh dan kesan.

Tingkah laku pemimpin masyarakat

Pada tahun 2007, ketika menghadiri sebuah program bersama pelajar-pelajar Malaysia di California, Amerika Syarikat, seorang menteri kabinet berbangsa Melayu telah dilaporkan mengeluarkan beberapa ungkapan yang dianggap menghina seorang pelajar berbangsa India. Dalam ucapannya, beliau menerangkan bagaimana pihak penjajah British membawa buruh India ke Tanah Melayu. Seraya berkata demikian, beliau memandang tepat ke arah seorang pelajar India di dalam dewan tersebut lalu berkata “that’s how we got Indians in Malaysia” (“kerana sebab itulah di Malaysia ada orang-orang India”).

Kemudian, pada tahun 2010, timbul pula laporan bagaimana seorang pengetua sekolah menengah kebangsaan di Johor, ketika berucap dalam perhimpunan khas sempena perayaan Hari Kemerdekaan, dengan lantang berkata pelajar-pelajar Cina tidak diperlukan di sekolah itu. Dicanang beliau agar pelajar-pelajar Cina berpindah ke sekolah Cina atau pulang sahaja ke negara Cina. Kepada pelajar-pelajar India beragama Hindu pula beliau berkata, tali sembahyang yang dipakai di lengan dan di leher umpama tali yang dipakai seekor anjing!

Dua contoh di atas adalah contoh kelakuan dan manifesti sikap yang ditonjolkan secara terbuka di khalayak ramai. Bayangkan apakah kata-kata yang mereka hemburkan dalam percakapan harian bersama ahli-ahli keluarga dan rakan-rakan?

Pengetua sekolah menengah itu misalnya, kalau begitulah sikap beliau ketika berucap dalam perhimpunan, bayangkan sikap beliau ketika berbual bersama guru-guru (yang majoritinya berbangsa Melayu) atau ketika memarahi pelajar-pelajar berbangsa Cina dan India di pejabatnya? Bayangkan juga bagaimana sikap beliau ini boleh mempengaruhi guru-guru lain yang masih muda dan pelajar-pelajar Melayu di sekolah berkenaan?

Merujuk kembali kepada kerangka sosiologi yang diterangkan tadi, tidak adil sebenarnya untuk kita menyalahkan individu-individu seperti pengetua sekolah ini semata-mata. Sikap dan kelakuan mereka juga dipengaruhi suasana atau individu-individu yang lebih besar kedudukannya dalam masyarakat. Dalam konteks negara kita, mereka yang paling berpengaruh dan yang paling besar hebahan kata-kata mereka adalah pemimpin-pemimpin politik kerajaan.

Polemik bangsa dan agama memang sudah sebati dengan politik di Malaysia. Agak menyedihkan namun tidak dapat dielakkan. Setiap parti dan pertubuhan-pertubuhan yang mewakili bangsa-bangsa tertentu semuanya mahu tampil garang mempertahankan hak masing-masing. Umno dan Perkasa misalnya, tidak putus-putus berteriak memberi amaran agar jangan ada yang berani mempertikaikan hak-hak orang Melayu. Diiringi pula dengan liputan meluas media arus perdana dan akhbar-akhbar tempatan.

Selalunya pihak yang diberi amaran itu memang tidak disebut dengan jelas namun, siapa lagi ianya ditujukan jika tidak kepada orang-orang bukan Melayu di negara kita.

Kesan kata-kata kesat ke atas minoriti

Teringat saya bagaimana beberapa kenalan berbangsa Cina mengeluh apabila anak-anak mereka yang bersekolah di sekolah kebangsaan takut untuk ke sekolah setelah terdengar ucapan-ucapan yang disampaikan dalam Perhimpunan Agung Umno yang disiarkan secara langsung di televisyen.

Mungkin pemimpin-pemimpin politik ini tidak sedar kesan perbuatan dan kata-kata mereka. Mereka menakut-nakutkan orang bukan Melayu, dan kesannya lahirlah perasaan marah yang menyebabkan orang bukan Melayu ini tidak mahu lagi mengundi mana-mana parti dan individu yang bersama dengan Umno dan Barisan Nasional.

Dari sudut yang lain pula, kesan kata-kata keras ini menyebabkan ramai orang Melayu daripada segenap lapisan masyarakat menjadi sombong dan hilang rasa hormat terhadap bangsa-bangsa yang lain. Apa sahaja yang dilakukan pemimpin-pemimpin akan menjadi ikutan.

Maka, ramai tidak lagi segan-silu menghina dan melemparkan kata-kata keras terhadap bangsa-bangsa lain kerana rasionalnya, “kalau pemimpin politik boleh, mengapa kita tidak boleh?”

Budak-budak lelaki Melayu yang saya perhatikan di taman permainan beberapa minggu yang lalu itu adalah salah satu hasil daripada rantaian interaksi pemimpin dan masyarakat ini. Adakah ini sikap bangsa Melayu yang ingin dipupuk pemimpin-pemimpin Umno, Perkasa dan pertubuhan-pertubuhan Melayu yang lain?

Bukanlah tujuan artikel ini untuk menghentam orang Melayu semata-mata. Sifat prejudis ada pada semua bangsa. Sebagai seorang yang berkemahiran sedikit berbahasa Cina, saya tahu bagaimana sebahagian orang Cina menghina dan mempersendakan orang Melayu. Namun, dalam konteks negara kita, orang Melayu sebagai kumpulan majoriti lebih bertanggungjawab menunjukkan teladan yang baik.

Tambahan pula, kita orang Melayu beragama Islam dan ajaran Islam itu mengajar kita saling hormat-menghormati, bukan menabur dan menyemai perasaan benci.

Comments (8)
  • HJK  - Normal-lah why so surprised

    Welcome to Malaysia of today.

    This is normal. And really it goes both ways. The Indian boy will have trouble went he mixes with an Indian crowd because they will ask him why he is so friendly with malays?

    In school I had a similar experience. I was friendly with a bunch of Malay fellows. But some chinese guys took me aside and asked me why I was so friendly with Malays. I would get into trouble if I continued to do so. I told them we are all school mates so shut up.

    Well one day some ultra-Malays came by and wanted to teach me a lesson. They didn't like me hanging out in a "Malay area" of the school.

    I thought my Malay friends would stand up with me. But they didn't! They just kind of left. I was only saved from a beating thanks to the intervention of those chinese guys who came because they heard that some chinese guy was going to have his ass beaten up. (Two side of racism at its finest. If i were indian I would probably have been beaten up or saved by a group of indians.)

    I got out of that fight. One of my malay friends apologized, but after that we drifted off. It was not safe to continue our friendship and they wouldn't risk standing with me.

    And there you go. Another Malaysian experience.

  • Zaki Samsudin

    Saudara Eksekutif,

    Memang artikel ini tujuannya membincangkan sikap menghina kaum lain di kalangan orang Melayu. Saya tidak pernah nafikan wujud penghinaan dan diskriminasi terhadap orang Melayu di kalangan orang-orang Cina dan India. Contoh-contoh yang saudara sebutkan saya amat maklum memang berlaku dan mungkin di kesempatan lain akan saya bincangkan.

    Kita berbincang untuk mencari jalan ke arah keharmonian, bukan untuk menuduh siapa yang lebih teruk sikap dan perangainya. Maka, saya tetap dengan pendirian dalam hal ini, kita orang-orang Melayu beragama Islam sebagai kumpulan majoriti perlu memimpin perubahan dengan menunjukkan contoh teladan yang baik. Sekiranya sikap kita masih seperti "kenapa kita mesti hormat mereka kalau mereka tak hormat kita" atau "mereka mesti hormat kita dulu baru kita hormat mereka", tak kiralah apa juga slogan yang mahu kita laungkan; 1Malaysia, bangsa Malaysia, PAS untuk semua dan sebagainya, keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di Malaysia ini tidak akan ke mana.

  • Eksekutif  - Semua sama

    Artikel ini hanya menceritakan dari satu sudut saja. Sebenarnya kaum Cina lebih rasis. Dalam aktiviti ekonomi mereka pun banyak diskriminasi.

    Ini realiti pengalaman isteri saya apabila bertemu syarikat2 milik bukan Melayu tak mahu ambil Melayu berkerja, tak boleh bertudung, Melayu bodoh kerja dsb. Orang Melayu juga dihina sebagai second class oleh bangsa Cina dan India elit berpendapatan tinggi. Ini berlaku di peringkat organisasi di kalangan mereka yang berpendidikan tinggi dan rasional. Bukan di kalangan budak2 yang masih mentah dan nakal.

    Soal kaum India dihina ini adalah sikap bersifat individu. Kita jangan tak tahu menari, katakan lantai jongkang-jungkit.

  • Zaki Samsudin

    I'm ashamed to admit that while witnessing the incident, I didn't do anything. I was looking after my own children. Certainly, I could have said something but what went through my mind at the time was that those boys wouldn't care because they honestly thought what they were doing was something acceptable. But true, that should not have stopped me from trying. I did however explain to my own children why such behaviours and attitude are wrong. Whether we are Malays, Chinese or Indians, we should all respect each other.

  • mary magdaline pereira

    I'm more curious about what, if anything, the writer did when he saw what was happpening. Remember, our children are watching and learning!

  • Lipstick Ramarajan

    Anak sulung saya yang lelaki saya hantar ke sekolah kebangsaan di Pandan Jaya, KL. Tak sampai 3 bulan didarjah satu, saya terkejut cara dia dan budak-budak bukan melayu dilayan oleh guru kelas dan juga budak-budak melayu yang lain. Saya perhatikan betul-betul dan agak menyesal dengan sistem sekolah kita yang penuh dengan diskriminasi terhadap kaum bukan maelayu. Pada masa itu juga saya terus tukar dia ke sekolah Tamil. Sekarang semua 3 anak saya telah belajar di sekolah Tamil sahaja.

    Apa guna bila menteri dan orang politik memekik kata ibubapa bukan melayu perlu hantar anak ke sekolah kebangsaan kalau anak-anak kita yang innocent diajar untuk membenci satu-sama lain? Ada kawan-kawan saya yang lain sekarang menyesal hantar anak ke sekolah kebangsaan tetapi sudah terlambat. Anak mereka melalui serangan verbal berunsur perkauman secara terpaksa.

  • raja  - very good explanation

    Saya adalah seorang bangsa India dari Johor.Sebagamana anda katakan memang wujud secara berleluasa sindiran dari golongan orang-orang melayu terhadap kaum India dan saya mendapati ia sudah menjadi perkara biasa yang telah berjangkit.Saya sendiri lahir dikawasan majoriti orang melayu dan bersekolah dengan murid-murid melayu di Kota Tinggi.Saya cukup geram dan marah terhadap mereka yang berkata demikian dan bila saya beritahu pada ibu-bapa saya ketika itu mereka hanya katakan biarkan aje sebab kalau anjing menyalak pada langit yang sakit itu anjing bukan manusia dan kita tak perlu menyalak pada anjing berkenan sebab manusia dan haiwan ada bezanya.Takkan kita nak gigit anjing yang menyalak...ada bezakan...itulah selalu dikatakan oleh ibu bapa saya.Kadang-kadang saya juga cukup marah dengan mereka tetapi saya cuba menjauhi mereka dengan rasa sabar hati sebab saya rasa akhlak mereka itu serba kekurangan.Jikalau ibu-bapa memainkan peranan dengan mendidik moral secara cukup,saya rasa anak-anak akan besar sebagai seorang insan yang soleh atau sekurang-kurangnya sebagai seorang manusia yang dapat menilai manusia/insan yang lain....bayi-bayi yang dilahirkan tidak kenal ugama atau bangsa...semuanya sama,dari hujung rambut hingga ke tapak kaki,organ dalaman pun sama,darah pun sama...semuanya merah tak ada yang hijau atau kuning......yang tak betul itu manusialah.....tuhan berikan semua kalau tak tahu nak pakai apa boleh buat.

  • gunse007  - ubah

    all same....cina n melayu sama jer, panggil india keling (not all people though)...
    its just shows... what the hell....

    keling kia... of course the other day HKR in KL, DAP's Anthony Loke greeted as malay ren, hindu ren which is respectable words..

Write comment
Your Contact Details:
Comment:
[b] [i] [u] [url] [quote] [code] [img]   
Security
Please input the anti-spam code that you can read in the image.

Announcement

History series

malaya-aaa

edu

Connect



Latest Articles