Wednesday, April 16, 2014
   
Text Size

RokAjaxSearch

E-book kian menggantikan buku berbentuk fizikal

Azmi Anuar

Usaha membudayakan tabiat membaca dalam masyarakat telah disemarakkan lagi baru-baru ini dengan program yang dianjurkan oleh Kelab Peminat Novelis Ramlee Awang Murshid (RAMFC) sempena meraikan kelahiran novel ke-25 novelis berkenaan.
 
Kelab tersebut telah menganjurkan sesiBaca@LRT bersama Ramlee Awang Murshid (RAM) pada 19 Januari 2013 yang bermula di Stesen LRT Gombak hingga ke hentian Taman Jaya. Lebih kurang 100 orang ahli kelab tersebut turut serta dan kehadiran mereka sambil membaca di sepanjang perjalanan menarik perhatian para penumpang yang lain.
 
Program yang mendapat sokongan dan kerjasama salah seorang pengasas gerakan Baca@LRT memang patut diketengahkan dan disebarluas. Gerakan Baca@LRT itu sendiri bermula semenjak tahun 2010 dan setakat ini masih mendapat sokongan ramai jika dilihat daripada jumlah ahlinya di laman Facebook. Reaksi penumpang-penumpang lain semasa usaha itu dijalankan memang positif kerana ramai yang ingin tahu kenapa kempen itu diadakan dan teruja untuk turut membaca sehinggakan ada yang langsung membaca apa sahaja di dalam genggaman mereka walaupun hanya sehelai risalah jualan.

Apa yang ketara ketika ini ialah kehadiran telefon bimbit pintar, iPad dan tablet yang berupaya memuatkan bahan bacaan dalam bentuk e-book menggantikan buku berbentuk fizikal semenjak beberapa tahun kebelakangan.

Kehadiran alat-alat ini mengurangkan pula pandangan lazim seorang pembaca dengan buku berbentuk fizikal. Ramai yang telah menggunakan alat-alat tersebut sebagai salah satu cara meneruskan kelaziman membaca walaupun ketika memandu di dalam kesesakan jalanraya atau semasa menggunakan pengangkutan awam. Para pembaca ini memang pada dasarnya sudah sebati dengan tabiat membaca.

Adakah minat membaca di kalangan penduduk di Malaysia semakin meningkat seiring dengan pertambahan penggunaan alat elektronik yang semakin canggih?

Sebelum populariti alat-alat ini tersebar luas, mereka yang tidak membaca hanya merenung keadaan sekeliling, melayan impian masing-masing. Kehadiran alat-alat ini mengalih kecenderungan mereka yang tidak membaca kepada aktiviti yang lain pula.

Kalau dilihat secara rambang, lebih ramai di antara mereka yang berada di dalam LRT, komuter atau bas menggunakan telefon bimbit atau tablet untuk permainan video, menonton video, mendengar lagu atau radio berbanding bilangan yang menggunakan alat yang sama membaca akhbar, majalah atau buku.

Melentur buluh biarlah dari rebungnya

Faktor ketidakselesaan membaca menggunakan alat-alat tersebut mungkin menjadi salah satu faktor kenapa aktiviti itu tidak popular. Rakan-rakan yang minat membaca rata-rata lebih gemar membaca buku berbentuk fizikal berbanding e-book.

Sesetengah pembaca pula cuba juga menyesuaikan diri dengan kemajuan teknologi dan tidak kekok membaca majalah serta akhbar menggunakan telefon bimbit atau tablet. Tetapi apabila tiba waktu untuk membaca buku, mereka lebih suka kepada format yang lama. Kepuasannya berbeza.

Mereka yang suka membaca sering menyatakan bahawa tabiat itu tersemai sejak kecil serta dibantu oleh persekitaran yang menggalakkan kegiatan tersebut di sekolah dan rumah. Persekitaran yang sesuai itulah yang memberi perangsang dan galakan kepada tabiat membaca.

Apabila usia semakin meningkat dewasa, usaha menggalakkan tabiat membaca adalah amat sukar. Para pelajar memang digalakkan membaca semenjak berada di sekolah rendah lagi tetapi ramai yang hanya menumpukan perhatian pada teks wajib untuk tujuan lulus peperiksaan. Setelah menamatkan pengajian, membaca akhbar pun mungkin kurang diminati.

Persoalan harian di kepala ialah masalah berulang-alik dari pejabat ke rumah manakala masa yang terluang lebih banyak tertumpu kepada keluarga dan rakan-rakan. Membaca hanya untuk tugasan harian dan bukan kerana minat membaca itu sendiri.

Kemungkinan besar tanggapan ini tidak berasas kerana sebuah rencana tentang persoalan membaca di Malaysia menyatakan bahawa statistik pada tahun 2010 menunjukkan bahawa rakyat Malaysia membaca di antara lapan sehingga dua belas buah buku setahun berbanding hanya dua buah buku pada tahun 1995.

Rencana itu juga merujuk kepada pertambahan kedai-kedai buku dan jualan buku serta kekerapan pesta jualan buku diadakan. Semua ini membuktikan bahawa rakyat negara ini memang suka membaca.

Belum ada pihak tempatan yang membuat penyelidikan tentang arah tuju dan aliran membaca di kalangan rakyat negara ini. Penyelidikan seperti ini perlu dilakukan untuk mengenalpasti apa yang perlu diperbaiki dan dipertingkatkan dalam usaha menggalakkan minat membaca. Penyelidikan itu juga mesti mengambilkira pembacaan menggunakan alat elektronik.

Menangani masalah harga buku tinggi

tablet-booksSatu komen tentang harga buku di akhir rencana tersebut mungkin boleh diambil perhatian dengan lebih serius oleh para penerbit dan pengimport buku. Komen itu berkisar tentang harga buku yang mahal di pasaran. Penulis itu mencadangkan supaya buku-buku dicetak menggunakan kertas yang tidak bermutu tinggi seperti yang terdapat di India dan Pakistan. Kandungan buku itu yang penting bukan helaian kertas yang membentuknya.

Masalah ini mungkin boleh dijadikan satu insentif untuk para penerbit mempromosikan e-book sebagai pilihan alternatif yang lebih murah dan menjimatkan ruang.

Pertama sekali perisiannya iaitu buku tadi hendaklah dijual dengan harga yang jauh lebih murah daripada buku berbentuk fizikal. Penerbit buku boleh mengambil contoh daripada penerbit muzik yang menjual banyak lagu dalam talian atau dimuat-turun supaya boleh didengar di mana-mana sahaja menggunakan telefon bimbit atau alat pemain muzik seperti iPod. Para peminat muzik tidak lagi membeli sebuah album dengan serta merta tetapi hanya satu atau dua lagu pada harga yang berpatutan.

Jika pendengar itu benar-benar gemarkan penyanyi atau kumpulan itu, barulah dia membeli kesemua lagu di dalam sesebuah album yang diterbitkan.

Konsep yang sama juga boleh disesuaikan untuk menjual buku. Pada masa ini penjual buku dalam talian seperti Amazon memberi peluang kepada para pembeli membelek satu atau dua muka pertama sesebuah buku yang hendak dibeli. Peluang ini mencetuskan rasa ingin tahu pembaca dan mereka yang ingin membaca buku tersebut akan membelinya.

Kadang-kadang terdapat potongan harga apabila pembaca itu membeli dua buah buku oleh pengarang yang sama atau dua buah buku yang berbeza pengarang tetapi meliputi topik yang sama. Para penerbit buku boleh memikirkan cara-cara lain untuk menarik perhatian para pembaca kerana hasilnya pasti jualan yang bertambah.

Perkara kedua yang mesti diberi perhatian ialah perkakasan membaca. Pembaca e-book khusus seperti Kindle masih terlalu mahal dan ramai yang akan memilih telefon pintar yang hampir sama harganya dan mempunyai fungsi yang lebih pelbagai.

Malangnya ketika ini skrin telefon pintar atau tablet masih menyakitkan mata apabila menggunakannya terlalu lama. Pembaca e-book khusus memang masih jauh ke depan dalam aspek ini tetapi penekanan dalam penyelidikan dan pembangunan diperlukan untuk menghasilkan perkakasan yang lebih murah dan mesra pembaca.

Pemandangan para pembaca yang lebih ramai berbanding mereka yang hanya bermain video di tempat-tempat awam mungkin akan menjadi kenyataan pada satu ketika nanti. Impian ini bergantung kepada pelbagai faktor yang boleh membantu tabiat membaca bermula daripada galakan membaca sejak anak-anak lagi, buku yang lebih murah dan pelbagai serta perkakasan yang lebih mesra pembaca.

Insentif daripada pihak kerajaan dalam bentuk baucer buku 1Malaysia dan pelepasan cukai untuk pembelian buku pula harus dikaji semula keberkesanannya.

Segala usaha mesti terus dijalankan supaya para pembaca dan pihak penerbit berada dalam keadaan menang-menang.

Announcement

History series

malaya-aaa

edu

Connect



Latest Articles